Monday, November 17, 2014

JKR Bintulu Rangkul Tempat Ke-3 Kejohanan Badminton Piala Pengurus Besar BDA

Pada 16 November 2014, bertempat di Dewan Badminton BDA, telah berlangsung satu pertandingan Kejohanan Badminton Piala Pengurus Besar BDA yang telah dianjurkan oleh BDA. Dalam pertandingan tersebut, JKR Bintulu telah berjaya merangkul tempat ke-3.

Pasukan JKR Bintulu menerima hadiah daripada Wakil Pengurus Besar BDA, Encik Wan Ibrahim.

Friday, November 14, 2014

"Technical Review Session" untuk Kumpulan Inovatif dan Kreatif

Pada 13 November 2014, telah berlangsung satu sesi reviu teknikal untuk Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) bertempat di Bilik Muhibbah, Ibupejabat JKR Sarawak. Sesi tersebut adalah bertujuan untuk mengevaluasi inovasi-inovasi yang telah dibuat oleh kumpulan-kumpulan KIK yang telah mewakili jabatan dalam pelbagai konvensyen di mana evaluasi telah dilakukan oleh barisan panel teknikal JKR dari pelbagai cawangan teknikal seperti Bekalan Air, Elektrikal, Jalan Raya dan sebagainya. Kumpulan Q-Inno dari JKR Bintulu telah dijemput untuk membuat pembentangan bagi dua projek iaitu projek C-Flex H2O Intake dan T-Flec.

Kumpulan White Swan dari JKR Sibu membentangkan inovasi mereka.

Wednesday, August 13, 2014

Penilaian Tapak Projek KIK Q-Inno oleh Panel Juri KIK Peringkat Negeri Sarawak 2014

Pada 12 Ogos 2014, kumpulan Q-Inno telah menyambut kedatangan panel juri yang diketuai oleh En. Dolhadi Hj. Marzuki untuk projek KIK bertempat di Bilik Mesyuarat Mini, JKR Bintulu. Penilaian projek adalah berdasarkan dokumentasi dan lawatan tapak yang seterusnya diadakan di Jalan Bintulu-Tatau. Semua ahli kumpulan Q-Inno telah datang membantu dalam penilaian projek tersebut.

Ahli-ahli kumpulan tekun menyediakan dokumentasi.

Saturday, July 26, 2014

Pengarah Melawat Puan Rozaidah Hipenie di Hospital Timberland

Pada 25 Julai 2014, bertempat di Hospital Timberland, Pengarah Kerja Raya Sarawak, Tn. Hj. Ir. Zuraimi bin Hj. Sebki telah berbesar hati untuk melawat Puan Rozaidah Hipenie yang telah selamat menjalani pembedahan membuang tumor. Selain Pengarah, Timbalan Pengarah Kerja Raya (Aset), Tn. Ir. Danien anak Ranggu juga telah datang melawat. Pada masa ini Puan Rozaidah Hipenie, iaitu Penolong Pegawai Tadbir di JKR Bintulu, masih lagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi di hospital tersebut. Mohon agar para pembaca turut menyedekahkan doa supaya beliau cepat sembuh.

Pengarah bersama Timbalan Pengarah (Aset) mengunjungi Puan Rozaidah di wad Unit Rawatan Rapi.

Wednesday, July 9, 2014

Majlis Penyediaan Rancangan Malaysia ke-11 2016-2020 Bersama Residen dan Daerah

Pada 7 dan 8 Julai 2014 yang lalu, telah berlangsung satu majlis yang dikelolakan oleh Jabatan Ketua Menteri iaitu Majlis Penyediaan Rancangan Malaysia ke-11 2016-2020 Bersama Residen dan Daerah bagi kawasan Utara Sarawak meliputi bahagian Bintulu, Miri dan Limbang. Setiap bahagian diwakili oleh Residen dan pegawai-pegawai daerah masing-masing. Turut sama hadir ialah ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta beberapa pegawai lain. JKR Bintulu turut sama dijemput untuk menghadiri majlis ini dengan diketuai oleh Jurutera Bahagian sendiri iaitu En. Ir. Wisil anak Lichok. Antara intipati majlis berupa bengkel ini ialah membincangkan persediaan senarai projek-projek RMK11 yang akan dilaksanakan bagi tempoh 2016-2020 di  bahagian masing-masing meliputi semua aspek pembangunan.

Majlis turut dihadiri oleh tetamu-tetamu kehormat seperti wakil rakyat.

(Notis) Tumpahan Minyak Sawit di Bulatan Jalan TKSB

Pada tengah hari 8 Julai 2014, telah berlaku tumpahan minyak oleh lori membawa minyak sawit di bulatan Jalan TKSB. Kesesakan lalu lintas telah berlaku di tempat tersebut. Oleh itu, para pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut.

Kemaskini: Pada malam 8 Julai 2014, pihak JKR Bintulu melalui syarikat konsesi penyelenggaraan CMS Roads telah menabur pasir di sepanjang kawasan jalan yang terlibat. Jalan raya sudah selamat dilalui oleh semua kenderaan, namun begitu, pengguna jalan raya diminta sekali lagi berhati-hati dan mengurangkan kelajuan ketika melalui bulatan tersebut.

Laluan yang sudah ditaburi pasir.

Friday, July 4, 2014

Kerja-kerja 5S di Loji-loji Rawatan Air JKR Bintulu

Mulai bulan April 2014, JKR Bintulu Seksyen Bekalan Air telah mula giat menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pengorganisasian 5S di loji-loji bekalan air di bawah jurisdiksi JKR Bintulu, termasuk di pejabat seksyen. Antara loji yang menjalankan kerja-kerja tersebut adalah loji air Tatau dan Sg. Asap. Kerja ini dijalankan secara 'in-house' oleh kakitangan-kakitangan Seksyen Bekalan Air yang berdedikasi.

Antara kakitangan-kakitangan JKR Bintulu yang terlibat dalam menjalankan tugas 5S.