Monday, November 17, 2014

JKR Bintulu Rangkul Tempat Ke-3 Kejohanan Badminton Piala Pengurus Besar BDA

Pada 16 November 2014, bertempat di Dewan Badminton BDA, telah berlangsung satu pertandingan Kejohanan Badminton Piala Pengurus Besar BDA yang telah dianjurkan oleh BDA. Dalam pertandingan tersebut, JKR Bintulu telah berjaya merangkul tempat ke-3.

Pasukan JKR Bintulu menerima hadiah daripada Wakil Pengurus Besar BDA, Encik Wan Ibrahim.

Friday, November 14, 2014

"Technical Review Session" untuk Kumpulan Inovatif dan Kreatif

Pada 13 November 2014, telah berlangsung satu sesi reviu teknikal untuk Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) bertempat di Bilik Muhibbah, Ibupejabat JKR Sarawak. Sesi tersebut adalah bertujuan untuk mengevaluasi inovasi-inovasi yang telah dibuat oleh kumpulan-kumpulan KIK yang telah mewakili jabatan dalam pelbagai konvensyen di mana evaluasi telah dilakukan oleh barisan panel teknikal JKR dari pelbagai cawangan teknikal seperti Bekalan Air, Elektrikal, Jalan Raya dan sebagainya. Kumpulan Q-Inno dari JKR Bintulu telah dijemput untuk membuat pembentangan bagi dua projek iaitu projek C-Flex H2O Intake dan T-Flec.

Kumpulan White Swan dari JKR Sibu membentangkan inovasi mereka.

Wednesday, August 13, 2014

Penilaian Tapak Projek KIK Q-Inno oleh Panel Juri KIK Peringkat Negeri Sarawak 2014

Pada 12 Ogos 2014, kumpulan Q-Inno telah menyambut kedatangan panel juri yang diketuai oleh En. Dolhadi Hj. Marzuki untuk projek KIK bertempat di Bilik Mesyuarat Mini, JKR Bintulu. Penilaian projek adalah berdasarkan dokumentasi dan lawatan tapak yang seterusnya diadakan di Jalan Bintulu-Tatau. Semua ahli kumpulan Q-Inno telah datang membantu dalam penilaian projek tersebut.

Ahli-ahli kumpulan tekun menyediakan dokumentasi.

Saturday, July 26, 2014

Pengarah Melawat Puan Rozaidah Hipenie di Hospital Timberland

Pada 25 Julai 2014, bertempat di Hospital Timberland, Pengarah Kerja Raya Sarawak, Tn. Hj. Ir. Zuraimi bin Hj. Sebki telah berbesar hati untuk melawat Puan Rozaidah Hipenie yang telah selamat menjalani pembedahan membuang tumor. Selain Pengarah, Timbalan Pengarah Kerja Raya (Aset), Tn. Ir. Danien anak Ranggu juga telah datang melawat. Pada masa ini Puan Rozaidah Hipenie, iaitu Penolong Pegawai Tadbir di JKR Bintulu, masih lagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi di hospital tersebut. Mohon agar para pembaca turut menyedekahkan doa supaya beliau cepat sembuh.

Pengarah bersama Timbalan Pengarah (Aset) mengunjungi Puan Rozaidah di wad Unit Rawatan Rapi.

Wednesday, July 9, 2014

Majlis Penyediaan Rancangan Malaysia ke-11 2016-2020 Bersama Residen dan Daerah

Pada 7 dan 8 Julai 2014 yang lalu, telah berlangsung satu majlis yang dikelolakan oleh Jabatan Ketua Menteri iaitu Majlis Penyediaan Rancangan Malaysia ke-11 2016-2020 Bersama Residen dan Daerah bagi kawasan Utara Sarawak meliputi bahagian Bintulu, Miri dan Limbang. Setiap bahagian diwakili oleh Residen dan pegawai-pegawai daerah masing-masing. Turut sama hadir ialah ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta beberapa pegawai lain. JKR Bintulu turut sama dijemput untuk menghadiri majlis ini dengan diketuai oleh Jurutera Bahagian sendiri iaitu En. Ir. Wisil anak Lichok. Antara intipati majlis berupa bengkel ini ialah membincangkan persediaan senarai projek-projek RMK11 yang akan dilaksanakan bagi tempoh 2016-2020 di  bahagian masing-masing meliputi semua aspek pembangunan.

Majlis turut dihadiri oleh tetamu-tetamu kehormat seperti wakil rakyat.

(Notis) Tumpahan Minyak Sawit di Bulatan Jalan TKSB

Pada tengah hari 8 Julai 2014, telah berlaku tumpahan minyak oleh lori membawa minyak sawit di bulatan Jalan TKSB. Kesesakan lalu lintas telah berlaku di tempat tersebut. Oleh itu, para pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut.

Kemaskini: Pada malam 8 Julai 2014, pihak JKR Bintulu melalui syarikat konsesi penyelenggaraan CMS Roads telah menabur pasir di sepanjang kawasan jalan yang terlibat. Jalan raya sudah selamat dilalui oleh semua kenderaan, namun begitu, pengguna jalan raya diminta sekali lagi berhati-hati dan mengurangkan kelajuan ketika melalui bulatan tersebut.

Laluan yang sudah ditaburi pasir.

Friday, July 4, 2014

Kerja-kerja 5S di Loji-loji Rawatan Air JKR Bintulu

Mulai bulan April 2014, JKR Bintulu Seksyen Bekalan Air telah mula giat menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pengorganisasian 5S di loji-loji bekalan air di bawah jurisdiksi JKR Bintulu, termasuk di pejabat seksyen. Antara loji yang menjalankan kerja-kerja tersebut adalah loji air Tatau dan Sg. Asap. Kerja ini dijalankan secara 'in-house' oleh kakitangan-kakitangan Seksyen Bekalan Air yang berdedikasi.

Antara kakitangan-kakitangan JKR Bintulu yang terlibat dalam menjalankan tugas 5S.

Sunday, June 29, 2014

Majlis "8th Joint Gawai-Kaamatan Celebration 2014" di Sekutan, Ulu Sebauh

Pada 28 Jun 2014, satu majlis sambutan gabungan Gawai-Kaamatan telah diadakan di Rh. Sekutan, Ulu Sebauh. Majlis ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Hj. Adenan bin Hj. Satem. Turut hadir ialah Jurutera Bahagian JKR Bintulu.

Suasana di Rh. Sekutan ketika majlis berlangsung.

Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat Zon 2014

Pada 28 Jun 2014, satu majlis gilang-gemilang telah diadakan di Kompleks DUN Lama iaitu Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat Zon 2014. Majlis tersebut dihadiri oleh ramai ketua jabatan negeri dan persekutuan serta badan berkanun, dan dirasmikan oleh Setiausaha Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi bin Abdul Ghani. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Kerja Raya Sarawak, En. Ir. Hj. Zuraimi bin Hj. Sebki. Kumpulan Q-Inno dari JKR Bintulu telah dijemput untuk ke majlis ini dan memasang pameran, serta diumumkan oleh Setiausaha Negeri sendiri tentang penyeragaman projek Q-Inno dan kejayaan Q-Inno untuk mewakili Malaysia di Konvensyen ICQ di Tokyo, Jepun.

Suasana sebelum majlis bermula.

Majlis Pelancaran Perkhidmatan Feri Pekan Sebauh, Batang Kemena

Pada 28 Jun 2014, telah berlangsung satu majlis pelancaran perkhidmatan feri pekan Sebauh menghubungkan kawasan Ulu Sebauh. Majlis gilang-gemilang ini telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sarawak sendiri iaitu Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Hj. Adenan bin Hj. Satem. Majlis ini turut dihadiri oleh Jurutera Bahagian JKR Bintulu, Encik Ir. Wisil anak Lichok serta beberapa kakitangan JKR Bintulu  yang lain.

Ketua Menteri Sarawak bersalaman dengan rakyat Sebauh yang hadir.

Friday, June 27, 2014

Rumah Terbuka JKR Bintulu Sempena Hari Gawai

Pada 26 Jun 2014 bertempat di perkarangan kantin JKR Bintulu, telah diadakan satu majlis kecil-kecilan rumah terbuka JKR Bintulu sempena hari Gawai. Jurutera Bahagian JKR Bintulu, En. Ir. Wisil anak Lichok ialah hos utama bagi majlis tersebut. Turut hadir ialah kakitangan-kakitangan dari jabatan-jabatan kerajaan, konsesi dan staf-staf JKR Bintulu dan JKR Pejabat Wilayah Utara Cawangan Bintulu.

Staf-staf JKR Bintulu yang turut hadir menjamu selera.

Thursday, June 26, 2014

Kursus "Contractor's All Risk and Workmen's Compensation Insurance" Peringkat Wilayah Utara di JKR Miri

Pada 25 Jun 2014, telah berlangsung satu kursus yang merupakan sebahagian daripada pengurusan kontrak, iaitu "Contractor's All Risk and Workmen's Compensation Insurance" Peringkat Wilayah Utara bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, JKR Miri. Turut hadir pada kursus tersebut ialah Jurutera Bahagian JKR Bintulu, En. Ir. Wisil anak Lichok, dan beberapa pegawai lain dari JKR Bintulu. Jurucakap/penceramah bagi kursus tersebut ialah Tn. Sr. Kie Ing Ching, iaitu Penolong Pengarah Cawangan Kontrak dan Perkhidmatan Guaman JKR Sarawak.

Ceramah disuplemenkan oleh penceramah jemputan iaitu En. Peter dari Tokio Marine Insurance.

Wednesday, June 25, 2014

Lawatan Tapak Projek Cadangan Jalan Menghubungkan Jalan TKSB dan Jalan Bakun/Bintulu-Miri

Pada 24 Jun 2014, satu lawatan tapak telah diadakan untuk meninjau kerja-kerja projek cadangan jalan menghubungkan Jalan TKSB dan Jalan  Bakun/Bintulu-Miri. JKR Bintulu telah dijemput dalam lawatan tapak tersebut bagi menyelesaikan beberapa perkara berkenaan projek tersebut yang melibatkan infrastruktur jalan dan air sedia ada. Wakil daripada JKR Bintulu diketuai oleh Jurutera Awam (Jalan), Pn. Dayang Marlinda Awg. Omar. Turut hadir, wakil daripada Sarawak Energy dan TM. Wakil dari BDA tidak hadir pada lawatan tapak tersebut.

Wakil dari Sarawak Energy menunjukkan grid bekalan elektrik sedia ada.

Thursday, June 19, 2014

Divisional Transformation Workshop di Four Points by Sheraton, Kuching

Pada 15 hingga 18 Jun 2014, telah berlangsung satu bengkel yang dianjurkan oleh  Jabatan Ketua Menteri Sarawak bertajuk "Divisional Transformation Workshop" dengan tema "Transforming the Service Delivery at the Divisional Level - The Way Forward". Bengkel selama 4 hari bertempat di Four Points by Sheraton Kuching ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Hj. Mohd. Morshidi bin Abdul Ghani. Bengkel ini dihadiri oleh setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kementerian, residen-residen, pegawai-pegawai daerah serta pegawai-pegawai kanan jabatan. Turut menghadiri bengkel ialah Pengarah Kerja Raya Sarawak, Tn. Hj. Ir. Zuraimi bin Hj. Sebki, Timbalan Pengarah Kerja Raya Sarawak (Infrastruktur), Tn. Ir. Philip Ng, Jurutera Bahagian JKR Bintulu, En. Ir. Wisil anak Lichok, Jurutera Bahagian JKR Betong, En. Ir. Meehan Jorai, Jurutera Bahagian JKR Kuching, En. Ir. Awg. Fadillah serta jurutera-jurutera dari Ibu Pejabat JKR HQ dan JKR Bintulu. Berikut ialah rangkuman peristiwa sepanjang bengkel tersebut berlangsung.

Hari Pertama (15 Jun 2014)
Para peserta bengkel mendaftar masuk di hotel pada pukul 2.00 petang. Sebelah malamnya, peserta dijemput ke majlis makan malam perasmian bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak. Antara aktiviti pada malam tersebut ialah ucaptama daripada Setiausa Kerajaan Negeri Sarawak, serta persembahan nyanyian dan karaoke daripada Pengarah Pengurusan Sumber Manusia, Tn. Dr. Razali bin Abon.

Residen Bintulu, En. Yusup bin Kari tekun mendengar ucapan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri.

Wednesday, June 18, 2014

Perhimpunan Tahunan JKR Sarawak di JKR Kuching

Pada 17 Jun 2014 bertempat di perkarangan pejabat JKR Kuching telah diadakan satu perhimpunan tahunan bersama kakitangan-kakitangan JKR Sarawak, yang turut dihadiri oleh Pengarah Kerja Raya Sarawak, Tn. Ir. Hj. Zuraimi bin Hj. Sebki. Wakil dari JKR Bintulu yang hadir pada upacara tersebut ialah Penolong Jurutera Elektrik, En. Mohd. Rahmat bin Jamali yang juga merupakan wakil AKRAB. Dalam majlis tersebut, Pengarah Kerja Raya telah mengumumkan bahawa kumpulan inovatif dan kreatif (KIK) dari JKR Bintulu iaitu Kumpulan Q-Inno telah diluluskan untuk mewakili Malaysia di Konvensyen ICQ di Tokyo, Jepun. Selain itu, penubuhan AKRAB juga telah diumumkan, iaitu bertujuan untuk melaksanakan kaunseling di peringkat bahagian.

Suasana sebelum perhimpunan bermula.


Saturday, June 14, 2014

Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Zon Utara Sarawak 2014

Pada 11-13 Jun 2014, telah berlangsung konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Zon Utara Sarawak 2014. JKR Bintulu telah menghantar satu kumpulan bagi kategori teknikal yang diketuai oleh En. Mohd. Rahmat bin Jamali dan difasilitatorkan oleh Pn. Rozaidah binti Hj. Hipenie.Turut bertanding ialah kumpulan Nanas Madu dari JKR Sarikei dan kumpulan Q-Think dari JKR Limbang. Selain persembahan, aktiviti pameran turut diadakan.

Pameran kumpulan Q-Inno yang bertemakan elektrik.

Sunday, June 8, 2014

Majlis Kesyukuran dan Majlis Jamuan Teh Bersempena Hari Keputeraan Agong Peringkat Negeri Sarawak

Pada 6-7 Jun 2014, satu siri upacara bersempena sambutan Hari Keputeraan Agong Peringkat Negeri Sarawak telah diadakan di Bintulu. Majlis-majlis telah disempurnakan dengan kehadiran Yang Di-Pertua Negara Sarawak, Tun Pehin Sri Hj. Dr. Abdul Taib bin Mahmud bersama-sama isteri baginda. Antara upacara-upacara yang dilaksanakan bermula dengan Majlis Kesyukuran bertempat di Masjid Assyakirin, diikuti Majlis Jamuan Teh bertempat di perkarangan Wisma Bintulu. Pameran di-Raja juga turut diadakan bertempat di ruang legar Wisma Bintulu.

YDPN Sarawak, Tun Pehin Sri berkenan mencemar duli untuk merasmikan upacara.

Saturday, May 24, 2014

Kursus IEM Overview on Professional Engineer's Interview di JKR Miri

Pada 23 Mei 2014 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama JKR Miri, telah diadakan satu kursus anjuran IEM Sarawak tentang "Overview on Professional Engineer's Interview" yang mensasarkan jurutera-jurutera di seluruh JKR Sarawak, pada sesi ini, untuk JKR kawasan wilayah utara Sarawak. Penceramah bagi kursus ini ialah Pengurus Wilayah JKR Wilayah Selatan, En. Ir. Vincent Tang dan Penolong Pengarah Cawangan Pematuhan JKR Sarawak, Pn. Ir. Stephanie Sim Hui Kheng.

Penceramah pada kursus tersebut, En. Ir. Vincent Tang dan Pn. Ir. Sim Hui Kheng.

Wednesday, May 21, 2014

In-House ICC Convention 2014 BPHB di Kompleks Lembaga Pelabuhan Bintulu

Pada 20 Mei 2014, JKR Bintulu telah dijemput oleh Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) untuk menghadiri konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) tertutup mereka yang bertempat di Kompleks Lembaga Pelabuhan Bintulu. Sebanyak 6 kumpulan dari BPHB telah mempersembahkan inovasi masing-masing yang disifatkan sangat menarik dan bertaraf antarabangsa. Selain persembahan, turut diadakan cabutan bertuah kepada tetamu-tetamu yang hadir.

Antara kumpulan yang membuat persembahan pada majlis tersebut.

Sunday, May 18, 2014

Malam Mesra Wanita Sambutan Hari PPWS 2014

Pada 17 Mei 2014, satu acara gilang-gemilang telah dianjurkan oleh Persatuan Wanita Sarawak iaitu Malam Mesra Wanita bertempat di Grand Millenium Ballroom, Hotel Parkcity Everly Hotel, Bintulu. Majlis tersebut turut dihadiri oleh kakitangan-kakitangan JKR Bintulu. Antara acara menarik pada malam tersebut ialah acara zumba, nyanyian karaoke dan upacara perasmian memotong kek sempena Hari PPWS 2014.

Upacara memotong kek merasmikan hari PPWS.

Majlis Malam Gawai Dayak Peringkat Bahagian Bintulu 2014

Pada 17 Mei 2014, satu majlis makan malam iaitu Majlis Malam Gawai Dayak Peringkat Bahagian Bintulu 2014 telah diadakan di Dewan Suarah Bintulu. Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Menteri Kemajuan Infrastruktur dan Telekomunikasi, Dato' Sri Michael Manyin anak Jawong. Antara acara menarik pada malam tersebut ialah gimik perasmian, pertandingan kumang gawai, persembahan kebudayaan dan nyanyian serta pelbagai acara lain yang menarik. Majlis ini turut dihadiri oleh Jurutera Bahagian JKR Bintulu, En. Ir. Wisil anak Lichok.

Kedatangan Dato Sri Michael Manyin disambut di Bilik VVIP, Lapangan Terbang Bintulu.

Friday, May 16, 2014

Lawatan Tapak Projek RBF di Sg. Asap oleh Timbalan Residen (Pembangunan) Kapit, En. Joseph Ikan

Pada 15 Mei 2014, Timbalan Residen Kapit iaitu Encik Joseph Ikan telah membuat lawatan ke projek River Bank Filtration (RBF) di Sg. Asap yang dikawalselia oleh Pejabat JKR Wilayah Utara. Antara mereka yang hadir selain beliau ialah wakil daripada JKR Bintulu, JKR Wilayah Utara dan perunding projek. Rombongan turut membawa En. Hollish anak Timbang, Pen. Pegawai Tadbir dan Awie Lembang, kakitangan CBG dari Pejabat Timbalan Residen Pembangunan.

Taklimat diberi oleh perunding dari GPM Engineering, Lawrence Lee.

Thursday, May 15, 2014

Lawatan Tapak Projek Surau Sg. Asap

Pada 15 Mei 2014, JKR Bintulu telah meninjau dan membuat lawatan tapak projek surau Sg. Asap yang baru. Projek tersebut yang dilaksanakan oleh JKR Kapit terletak di kawasan pusat komuniti daerah kecil Sg. Asap. JKR Bintulu membuat lawatan tapak untuk mengenalpasti utiliti bekalan air untuk surau tersebut.

Projek surau Sg. Asap yang separuh siap.

Lawatan Timbalan Menteri Pengangkutan ke Jalan Bakun dan Sg. Asap

Pada 14 Mei 2014, Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Dato' Abdul Aziz bin Kiprawi telah membuat lawatan rasmi ke Jalan Bakun dan Sg. Asap. Lawatan tersebut turut disertai oleh Pen. Jurutera (Jalan), En. Faizol bin Hassim dan Juruteknik Jalan, En. Khairuldin bin Madzihi.

Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Dato' Abdul Aziz bin Kiprawi turut menjamu selera di sebuah kedai makan di tepi Jalan Bakun.

En. Faizol bin Hassim turut hadir mengiringi rombongan.

Wednesday, May 14, 2014

Taklimat Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat Zon Sarawak 2014

Pada 14 Mei 2014, satu taklimat ringkas telah diadakan di Tingkat 2, Jabatan Ketua Menteri berkenaan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat Zon Sarawak 2014 yang akan diadakan pada tempoh berikut:

Zon Utara dan Tengah: 11 - 13 Jun 2014
Zon Tengah (PBT): 18 - 20 Jun 2014
Zon Selatan: 24 - 26 Jun 2014
Majlis Penyampaian Hadiah (Hi-Tea): 27 Jun 2014

Turut hadir pada taklimat tersebut ialah Jurutera Awam (Air), En. Anwarul Adzizi bin Adeni dan Pen. Jurutera Elektrik, En. Mohd. Rahmat bin Jamali.

Antara yang hadir sewaktu taklimat tersebut.

Sunday, May 11, 2014

Majlis Makan Malam Pra-Gawai Sebauh 2014

Pada 10 Mei 2014, Majlis Makan Malam Pra-Gawai Sebauh 2014 telah diadakan di Balai Raya Sebauh. Majlis ini dihadiri oleh ketua-ketua kaum, masyarakat dan ketua jabatan termasuk Jurutera Bahagian JKR Bintulu sendiri iaitu En. Ir. Wisil Lichok. Antara program pada malam tersebut ialah persembahan kebudayaan, nyanyian daripada penyanyi tebilang Iban, James Jacob, pertandingan kumang gawai, makan malam dan gimik perasmian yang dirasmikan oleh Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik & Komunikasi) iaitu Datuk Dr. Stephen Rundi anak Utom.

Pertandingan ratu cantik 'kumang gawai' menjadi penyeri majlis.

Sunday, May 4, 2014

Kempen Go Bald, Help Kids Fight Cancer di CityOne Mall, Kuching

Pada 4 Mei 2014 bertempat di CityOne Mall, Kuching, satu kempen kesedaran kanser iaitu Go Bald telah diadakan. Kempen Go Bald ialah kempen kesedaran dan juga majlis amal untuk Sarawak Children's Cancer Society (SCCS). Kempen tersebut melibatkan aktiviti mencukur rambut kepala bertujuan bagi memberi mesej kepada kanak-kanak bahawa kehilangan rambut adalah hanya kesan sementara ke arah penyembuhan dari sakit kanser. Misi kempen ini ialah untuk meningkatkan kesedaran dan menunjukkan sokongan terhadap kanak-kanak yang mengidap kanser selain memungut derma bagi SCCS.

JKR Sarawak telah berbesar hati untuk terlibat dalam kempen ini dengan penglibatan Pengarah Kerja Raya Sarawak sendiri iaitu Ir. Hj. Zuraimi bin Sebki serta Timbalan beliau, Ir. Danien anak Ranggu. Selain itu, JKR Bintulu turut menghantar wakil iaitu Penolong Jurutera Bahagian sendiri iaitu En. Indra Sakti bin Haron. JKR Sarawak telah menderma sebanyak RM20,000 untuk kempen ini di mana RM500 daripadanya datang daripada JKR Bintulu.

Pen. Jurutera Bahagian JKR Bintulu, En. Indra Sakti bin Haron (tiga dari kiri), bergambar memegang mock cheque JKR Sarawak bersama kakitangan-kakitangan JKR Sarawak yang lain.

Saturday, May 3, 2014

Pertandingan Badminton Antara Seksyen Sokanjaya Tertutup 2014

Pada 3 Mei 2014, Sokanjaya Bintulu telah mengadakan satu pertandingan badminton antara seksyen tertutup bagi tahun 2014 bertempat di Dewan Badminton Sokanjaya Bintulu. Pertandingan melibatkan 4 seksyen utama iaitu Pentadbiran, Bangunan + Elektrikal, Jalan Raya dan Bekalan Air. Permainan pula terbahagi kepada single, double, mixed dan veteran

Antara yang bertanding dan memberi sokongan.

Wednesday, April 30, 2014

Gotong-Royong Dewan Badminton JKR Bintulu

Pada 27-28 April 2014, ahli-ahli Sokanjaya Bintulu telah berbesar hati untuk turun padang dan membuat gotong-royong beramai-ramai membersih dan mencantikkan Dewan Badminton JKR Bintulu. Ini bertujuan bagi meningkatkan keselesaan pengguna di dewan tersebut. Seiring dengan peningkatan kos operasi dan baikpulih ini, Sokanjaya Bintulu kini telah menetapkan kadar sewaan RM10 sejam bagi penggunaan gelanggang badminton ini. Sekiranya anda berminat, boleh menghubungi En. Nur Azman Wan Seh di talian utama JKR Bintulu.

Membersih sawang debu di dinding badminton.

Tuesday, April 29, 2014

Taklimat Penggunaan Photometer, Turbidimeter dan Jar Tester di JKR Kuching

Pada 29 April 2014, JKR Bintulu telah menghantar beberapa orang wakil untuk menghadiri taklimat penggunaan photometer, turbidimeter dan jar tester di JKR Kuching. Taklimat ini dikelolakan oleh Ibu Pejabat JKR Sarawak Cawangan Bekalan Air (O&M), dihadiri oleh penceramah khas dari Palintest dan Arachem. JKR Bintulu telah diperuntukkan beberapa unit untuk digunakan dan dibawa pulang pada hari yang sama.

Wakil dari Palintest Australia menunjukkan cara-cara menggunakan Photometer 8000.

Saturday, April 26, 2014

Majlis Makan Malam Tahunan Sokanjaya 2014

Pada 25 April 2014, satu majlis makan malam anjuran Sokanjaya tahun 2014 bertemakan "Warna-Warni" telah diadakan. Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran tetamu-tetamu kehormat seperti Menteri Muda Kemudahan Awam Sarawak (Elektrik dan Telekomunikasi), YB Datuk Dr. Stephen Rundi anak Utom, Residen Bintulu, YBhg. En. Mohd. Yusop bin Kari, Pengurus Besar BDA, Datu Mohidin Ishak, Timbalan Residen, Pejabat Daerah, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua seksyen JKR Bintulu. Meskipun Pengarah Kerja Raya Sarawak tidak dapat menghadiri majlis tersebut, wakil beliau, Timbalan Pengarah, En. Ir. Danien Ranggu telah meluangkan masa untuk menghadirkan diri ke majlis tersebut.

Tetamu dari Jabatan Tanah dan Survei.

Friday, April 25, 2014

Lawatan Kerja Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Datuk Fadillah Yusof ke Bintulu

Pada 24-25 April 2014, YB Datuk Fadillah Yusof telah berbesar hati untuk mengadakan lawatan rasmi ke Bintulu. Antara program dalam rangka lawatan beliau ialah sesi dialog di SMK Baru, pembesaran Jalan TKSB antara Tg. Kidurong dan Samalaju serta program-program lain.

Sambutan di Lapangan Terbang Bintulu
YB Datuk Fadillah Yusof telah tiba ke Lapangan Terbang Bintulu pada 24 April 2014. Beliau dengan rombongan dari Kementerian Kerja Raya Malaysia, JKR Malaysia dan beberapa kakitangan lain, disambut oleh Pengarah Kerja Raya Sarawak, Ir. Hj. Zuraimi bin Sebki dan Pengetua SMK Baru, Puan Rahani @ Rohani Hj. Daud. Sebaik ketibaan beliau di Lapangan Terbang Bintulu, satu sesi perbincangan ringkas tentang SMK Baru telah diadakan di bilik sambutan VVIP.

Sambutan rombongan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Fadillah Yusof ke bilik sambutan VVIP Lapangan Terbang Bintulu.

Tuesday, April 22, 2014

Kursus Pemantapan Projek KIK di Hotel Mega, Miri

Pada 23 April 2014 yang lalu, kumpulan Q-Inno sekali lagi telah menghadiri satu kursus untuk Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) iaitu Kursus Pemantapan Projek KIK di Hotel Mega, Miri. Kursus ini dikelola dengan penceramah yang dijemput khas iaitu Hj. Abg. Husaini bin Abg. Hussein. Antara kumpulan yang menyertai kursus ialah kumpulan dari JKR Bintulu dan JKR Limbang.

Kumpulan Q-Inno tekun menyiapkan laporan.

Kursus Foundation Engineering di Ibu Pejabat JKR Sarawak

Pada 21 April 2014, bertempat di Auditorium Ibu Pejabat JKR Sarawak, telah berlangsung satu kursus bertajuk "Foundation Engineering" yang berlangsung selama dua hari. Kursus ini terbahagi kepada dua hari dan 6 sesi, iaitu 3 sesi hari pertama dengan penceramah Ir. Sam Pong Pichan, Penolong Pengarah Kanan J48 dari Seksyen Jalan dan Geoteknik, JKR Malaysia. Manakala 3 sesi hari kedua dengan penceramah Ir. Abdul Hadi Abdul Aziz, Ketua Penolong Pengarah J52 dari JKR Malaysia. Kursus ini memberi pemahaman terhadap rekabentuk asas cetek, asas cerucuk serta aspek pemantauan dan kerja dalam membina asas (foundation). Kursus ini turut dihadiri oleh Penolong Jurutera Bahagian JKR Bintulu, En. Indra Sakti Haron.

Pensyarah-pensyarah dari Politeknik Kuching turut menghadiri kursus ini.

Friday, April 18, 2014

Lawatan Pengarah SIMU ke Projek RBF Sg. Asap

Pada 17 April 2014, Pengarah Unit Pemantauan Perlaksanaan Negeri (SIMU) Jabatan Ketua Menteri Sarawak iaitu Encik Bakrie bin Zaini telah berbesar hati untuk membuat lawatan ke projek River Bank Filtration (RBF) di Sg. Asap yang dikawalselia oleh Pejabat JKR Wilayah Utara. Antara mereka yang hadir selain beliau ialah wakil daripada JKR Bintulu, JKR Wilayah Utara dan perunding projek. 

Lawatan di tapak projek oleh Pengarah SIMU dan rombongan beliau.

Thursday, April 17, 2014

Sarawak Water Supply Retreat - Bahagian 2

Ini adalah entri sambungan dari Sarawak Water Supply Retreat - Bahagian 1. Sekiranya anda belum membaca entri tersebut, sila klik pautan berikut: Bahagian 1.

Hari Ketiga (15 April 2014)
Pada hari ketiga, program diteruskan lagi dengan aktiviti yang lebih padat. Di sebelah awal pagi diadakan program senaman aerobik. Bermula jam 8.00 pagi sehingga 11.00 pagi diadakan ceramah dengan menyentuh pelbagai topik antaranya tentang sistem bekalan alternatif dari penceramah Ir. Sudin Jaya dari JKR Sarawak, serta pelbagai ceramah lain.

Ceramah bekalan air sistem alternatif oleh Ir. Sudin Jaya dari JKR Sarawak.

Tuesday, April 15, 2014

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak, Bintulu

Pada 13 April 2014 bertempat di Dewan Suarah Bintulu, telah diadakan satu majllis perasmian untuk Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri. JKR Bintulu telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Peralatan bagi majlis tersebut. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem. Majlis tilawah pula akan diadakan pada keesokan harinya.

Majlis perasmian tilawah yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Monday, April 14, 2014

Sarawak Water Supply Retreat 2014 - Bahagian 1

Dari 13-16 April 2014 bertempat di Parkcity Everly Hotel, pihak LAKU Bintulu telah menganjurkan satu program dwitahunan antara agensi-agensi bekalan air seperti Kementerian Kemudahan Awam Sarawak (KKAS), JKR, Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB), LAKU (Laku Management Sdn. Bhd.) serta beberapa agensi lain seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Mineral dan Geosains dan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak. Tema program pada kali ini ialah "Optimizing Demand Management in Water Supplies".

Hari Pertama (13 April 2014)
Program pada hari pertama iaitu pada 13 April 2014 ialah pendaftaran peserta-peserta ke program mencari ketenangan. Setiap peserta diberikan sebatang pendrive, sebuah beg galas, kertas program dan aktiviti, dua baju T berwarna hijau dan ungu serta seluar sukan. Semasa pendaftaran, peserta di luar Bintulu akan diberikan tempahan bilik di Hotel Parkcity Everly. Selepas pendaftaran, setiap peserta akan melalui pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah, paras gula dan sebagainya.

Antara pemberian sempena program.

Pameran JKR Bintulu Bersempena Karnival Berambeh RTM 2014 di Lapangan Terbang Bintulu

Pada 11 - 13 April 2014, JKR Bintulu telah menyertai pameran agensi kerajaan untuk Karnival Berambeh RTM di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti pameran, jualan makanan, cenderahati dan sebagainya.

Kakitangan JKR Bintulu yang telah bertungkus-lumus menyiapkan pameran.

Saturday, April 12, 2014

Majlis Perpisahan Puan Theresa Andrew

Pada malam 11 April 2014, telah berlangsung satu majlis khas bersempena perpisahan Puan Theresa Andrew bertempat di Kemena Hotel. Acara tersebut turut dihadiri oleh ketua-ketua seksyen, petugas-petugas pameran Karnival Berambeh serta kakitangan-kakitangan seksyen Bangunan. Antara aktiviti pada malam tersebut ialah makan-makan, karaoke, ucapan dan sebagainya. Kami ucapkan kepada Puan Theresa selamat maju jaya di tempat baharu beliau iaitu di JKR Miri!

Puan Theresa Andrew sedih menyampaikan ucapan beliau yang terakhir.

Tuesday, April 8, 2014

Majlis Pra-Perpisahan Puan Theresa Andrew

Pada tengahari 7 April 2014, satu majlis kecil-kecilan perpisahan Puan Theresa Andrew telah dibuat di Restoran Peace Garden bersama-sama kakitangan seksyen Bangunan dan wakil seksyen-seksyen lain. Antara aktiviti pada tengahari tersebut ialah makan-makan dan ucapan perpisahan daripada Puan Theresa Andrew.

Puan Theresa Andrew sebak ketika menyampaikan ucapan perpisahan.

Saturday, April 5, 2014

Taklimat Projek Bioetanol di Tatau

Pada 4 April 2014, satu taklimat ringkas berkenaan Projek Bioetanol Tatau telah diadakan di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Tatau. Taklimat tersebut adalah untuk memberi penerangan kepada ahli-ahli mesyuarat terutamanya wakil-wakil ketua kaum dan masyarakat tentang projek bioetanol yang akan merancakkan lagi ekonomi di Tatau. JKR Bintulu telah berkesempatan untuk mendengar taklimat ini. 

Taklimat dipengerusikan oleh Residen Bintulu dan dibentangkan oleh pelaksana projek, Hock Lee Group.

Friday, April 4, 2014

Majlis Pernikahan Puan Haliza Abdul Khalek dan Encik Trevor Steven

Pada 4 April 2014, salah seorang daripada ketua seksyen di JKR Bintulu telah pun melangsungkan perkahwinan iaitu Puan Haliza Abdul Khalek, penolong akauntan di seksyen Akaun, bersama pasangannya yang juga kakitangan JKR Bintulu iaitu Juruteknik Awam seksyen Jalan, Encik Trevor Steven. Majlis akad nikah tersebut telah diadakan secara sederhana dan dihadiri oleh saudara terdekat dan kakitangan-kakitangan JKR Bintulu sendiri. Tahniah kami ucapkan!

Merpati dua sejoli, Puan Haliza dan Encik Trevor bersama kakitangan-kakitangan JKR Bintulu.

Friday, March 21, 2014

Upacara Solat Sunat Istisqo di Masjid Sebauh

Pada 20 Mac 2014, satu upacara solat sunat istisqo telah diadakan di Masjid Sebauh anjuran PKIJ Bintulu dengan kerjasama ahli-ahli jawatankuasa Masjid Sebauh. Upacara ini diadakan bagi memohon kepada Allah supaya diturunkan hujan setelah sekian lama Sebauh dilanda kemarau sehingga menyebabkan keadaan bekalan air di Loji Rawatan Air Sebauh meruncing. Turut hadir memeriahkan upacara ialah Penolong Jurutera Bahagian, En. Indra Sakti bin Haron serta Penolong Jurutera (Elektrik), En. Mohamad Rahmat bin Jamali yang juga selaku Pengerusi PKIJ Bintulu.

Antara yang turut hadir menyertai solat.

Thursday, March 20, 2014

Safety and Health Awareness Talk JKR Bintulu

Pada 19 Mac 2014 telah diadakan satu sesi taklimat "Safety and Health Awareness Talk" kepada kakitangan-kakitangan JKR Bintulu. Ia bertujuan bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. 

Jurutera Bahagian mengucapkan penghargaan kepada penceramah.

Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Kemarau Daerah Tatau

Pada 19 Mac 2014 bertempat di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Tatau telah diadakan satu mesyuarat tergempar Jawatankuasa Bencana Kemarau Tatau. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tatau, En. Nyurak Keti, Jurutera Bahagian JKR Bintulu serta dihadiri agensi-agensi lain termasuk wakil ketua kaum dan masyarakat. Mesyuarat adalah bertujuan untuk membincangkan dan memberi taklimat tentang keadaan kemarau di Tatau termasuklah keadaan bekalan air yang meruncing di Loji Rawatan Air Tatau.

Antara yang hadir pada mesyuarat tersebut.

Sunday, March 16, 2014

JKR Bintulu Merangkul Tempat Ke-2 dan Ke-3 Kejohanan Badminton Bersempena Karnival Sukan Sambutan Hari MARA ke-14 Anjuran IKM Bintulu

Pada 15 Mac 2014 bertempat di Dewan Badminton IKM Bintulu, telah diadakan satu pertandingan badminton di mana JKR Bintulu telah merangkul tempat Ke-2 dan Ke-3 dalam Kejohanan Badminton Bersempena Karnival Sukan Sambutan Hari MARA ke-14 anjuran IKM Bintulu. Tempat ke-2 diwakili oleh Michael Sim dan Nur Azman Wan Seh manakala tempat ke-3 oleh Mani anak Ukin. Tahniah kepada mereka!

JKR Bintulu bersama hadiah yang dimenangi.

Saturday, March 15, 2014

Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Bencana Kemarau Bintulu

Pada 14 Mac 2014 bertempat di bilik perbincangan Pejabat Residen Bintulu telah diadakan satu mesyuarat tergempar Jawatankuasa Bencana Kemarau Bintulu. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Residen Bintulu sendiri iaitu En. Mohd. Yakup bin Kari serta dihadiri oleh Pegawai Daerah Bintulu, En. Tuah Suni, Jurutera Bahagian JKR Bintulu serta dihadiri agensi-agensi lain seperti pegawai dari Jabatan Metereologi. Mesyuarat adalah bertujuan untuk membincangkan dan memberi taklimat tentang keadaan kemarau di Bintulu termasuklah keadaan bekalan air yang meruncing di Sebauh dan Tatau.

Antara yang hadir di mesyuarat tersebut.

Tuesday, March 11, 2014

Majlis Sambutan Ketibaan DYMM Sultan Selangor ke Bintulu

Pada 10 Mac 2014 bertempat di Lapangan Terbang Bintulu, satu majlis sambutan ketibaan DYMM Sultan Selangor ke Bintulu telah diadakan. Baginda Sultan adalah dalam rangka lawatan merasmikan Kampus UPM Cawangan Bintulu. Turut hadir menyambut baginda ialah wakil-wakil daripada JKR Bintulu diketuai oleh Jurutera Bahagian, En. Ir. Wisil Lichok.

Ketibaan DYMM Sultan Selangor disambut meriah.